Hatiku MilikMu


‘’Bang Umar, baliklah pada Fika. Fika rindu abang Umar yang Fika kenali
dulu,’’ Fika terus memujuk rayu. Handset Umar sentiasa berirama dengan mesej
dan panggilan daripada gadis itu.

‘’Fika, kita dah tak de apa-apa lagi. Berapa kali orang nak cakap,’’

‘’Abang, sampai hati abang! Takkan semudah ni abang nak tinggalkan Fika?
Abang tak kasihankan Fika? Apa salah Fika pada abang?’’ terdengar suara
tangisan Fika. Hati Umar terusik.

‘’Abang, Fika selalu jadi mangsa cinta lelaki. Selepas Fika dah menaruh harapan
tinggi, senang-senang je lelaki nak tinggalkan Fika. Fika ingat Fika dah jumpa
cinta sejati selepas menemui abang, tapi rupanya Fika silap. Abang pun sama
macam jantan lain. Abang langsung tak kasihankan Fika?’’ Umar terus diracuni
pujuk rayu dan tangisan Nur Syafika. Berbisa sungguh tangisan seorang wanita
di hati seorang lelaki.

‘’Fika, abang pun masih sayangkan Fika. Tapi, abang tak boleh terima bila
perhubungan kita ni atas jalan yang salah, jalan yang Allah tak redhai. Abang
mengakui, abang lemah menghadapi godaan Fika. Abang tak nak peristiwa
tempoh hari berulang lagi. Fika harus faham, jika Fika sayangkan perhubungan
ni, Fika kembalilah mencari Allah. Bila hati kita sama-sama mencari Allah,
barulah kita masih ada peluang untuk hidup bersama,’’
‘’Abang, bimbinglah Fika,’’terus merayu.

‘’Apa yang mampu abang lakukan. Pergaulan kita terbatas kerana kita adalah
mahram. Kalau Fika betul-betul hajatkan bimbingan, Fika carilah seorang pelajar
bernama Asiah Yusro. Abang yakin dia boleh bimbing Fika. Kalau tak silap
abang, dia selalu hadiri kuliyah Tazkiyatul Nafs oleh Dr. Azmin setiap Ahad
malam di department abang,’’

*********************************************************

(Handset hilang… Pedih menerima satu kehilangan. Hati jadi sedih. Ahh,
bodohnya aku! Kenapa aku tak merasai kehilangan seperti ini ketika aku cuba
lari dari hidayah Allah dulu??? Bertahun-tahun hidupku tak keruan. Aku tak
menyumbang apa-apa untuk agama Allah. Siapa yang nak bayar harga kerugian
itu? Aku kehilangan rahmat dan hidayah Allah kerana aku sendiri cuai
menjaganya. Baru aku sedar bahawa aku tak cukup ikhlas mencari hidayah
Allah di Taman Islam. Hatiku ada hijab. Aku lebih mendamba cinta Asiah Yusro
daripada cinta Allah. Aku remehkan soal keikhlasan hati dan mazmumah yang
ada tak sepenuhnya kukikis. Kubiarkan ia bersarang. Akhirnya, ia merebak dan
meracuni hati.Lalu, Allah asingkan aku dari rahmat-Nya seketika. Azab rasanya!
Aku lemas dalam lautan cinta buta yang sementara. Mujurlah, Dia masih sudi
memimpinku kembali. Aku tahu, cinta-Nya padaku tak pernah bertepi. Cuma
aku yang tak menghargai.Cukuplah…aku tak mahu kehilangan lagi. Ya Allah,
Kaulah cintaku!) Hati Umar bermadah pilu. Rasa kehambaan berkunjung
datang. Rahmat Tuhan.


************************************************


Sejurus kemudian, wakil keluarga Banna tampil menyuarakan hasrat
menyunting mawar di taman larangan. Suasana ceria ketika itu. Namun, Asiah
Yusro terkejut besar.

(Kenapa ayah Maziah yang melamar, kenapa bukan ayah Umar Al-Mujahid?)
Baru sekarang dia tahu bahawa rombongan meminang itu adalah daripada
keluarga Banna bukan Umar seperti sangkaannya. Air matanya menitis tanpa
disedari.

(Umar, sekian lama kutepis rindu ini. Kunantikan syariat menghalalkan untuk
kuluahkan segala kerinduan. Hatiku milikmu, Umar!) Hatinya pedih merintih.
Dia cuba mengumpul segenap ketabahan namun tidak terdaya. Air matanya
terus membanjiri pipi. Asiah Yusro sudah jatuh cinta. Cinta yang kudus
terpelihara untuk Umar rupanya bukan milik Umar. Sukar untuknya menelan
pahitnya realiti. Air matanya meluahkan segala…

‘’Bagi pihak kami, insyaallah tiada halangan. Tapi, kena tanya juga empunya
diri,’’ suara ayah Asiah Yusro kedengaran bersulam keceriaan. Semua mata
beralih fokus kepada Asiah Yusro. Senyuman yang tadinya ceria sudah pudar di
wajah itu. Air mata Asiah Yusro memberi jawapan. Namun mempunyai dua
tafsiran di minda tetamu, sedih atau terharu. Wajahnya diangkat dan
memandang Umar Al-Mujahid seketika. Ada sinar pengharapan di matanya.
Kemudian dia menunduk lagi, melayan murahnya tangisan. Hati Umar terusik,
jiwanya bergetar.

(Tidak!Tidak!Tidak! Aku mesti ada kemampuan berkata tidak! Maafkan aku
Asiah Yusro. Aku memang tak layak untukmu. Kau memang bertuah kerana
bakal dimiliki oleh Banna, lelaki soleh yang kukagumi. Pilihan Allah Maha Adil
untukmu. Banna 1000 kali jauh lebih baik dariku)


***************************


‘’A’uzubillahi mina syaitonirrojim. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal
ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat
buruk bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui,’’ Asiah Yusro
membacakan kembali tafsiran ayat 216, Suroh Al-Baqoroh. Allah telah
memberikannya jawapan.

‘’Abi, Yusro terima lamaran Hassan Al-Banna,’’jawabnya.


(Pergilah…pergilah cinta Asiah Yusro! Aku tak perlukan cintamu. Ya Allah,
hanya Kau yang kudambakan bukan sesiapa di kalangan makhluk-Mu. Hatiku
hanya milik-Mu) Umar memujuk hatinya agar tenang menerima suratan. Luka
lamanya membengkak kembali. Dia cuba menyembunyikan segala kepedihan
dan kekecewaan di hati. Cinta Fika sesekali melambai datang, ditepisnya sejauh
mungkin. Cinta Asiah Yusro yang menjadi idaman, hadir ketika dirinya terabaraba
mencari jalan pulang.
(Cukuplah selama ini aku telah banyak menzalimi diri sendiri. Asiah Yusro tak
patut dimiliki orang sepertiku.




‘’Umar, sohibah tu lah yang dipaksa kahwin oleh keluarganya. Kasihan
dia. Usianya dah menjangkau lebih 30 tahun. Ibubapa mana yang tidak risau?’’
Dr. Azmin mematikan lamunan Umar. Tangannya menunjuk kepada seorang
sahibah. Mata Umar melirik kepada arah yang ditunjukkan. Seorang sahibah
berwajah gelap dengan pipinya dipenuhi parut-parut bekas jerawat, sopan
bersimpuh di satu penjuru. Tudung labuh dan jubahnya tetap memikat kalbu
daripada kacamata iman seseorang.

‘’Dia wanita yang ditarbiyyah, wanita mulia! Layakkah dia untuk ana?’’ Umar
berbisik kepada Dr,Azmin.

‘’Umar, selamatkanlah dia….’’ Balas Dr. Azmin menyebabkan Umar tersenyum,
senyuman yang tersirat makna.

‘’Err, saya pun boleh jadi hero penyelamatnya,’’ terjulur kepala Fathil yang tibatiba
muncul di celah Dr. Azmin dan Banna. Mereka tersenyum ceria

(Fathil tak pandang kecantikan lagi ke? Mungkin imannya dah boleh berbicara)

Umar Al-Mujahid takjub dengan kuasa iman. Iman mengubah hati insan,
menjadikan pemikiran seseorang tunduk pada kebenaran. Jalan tarbiyyah dan
da’wah ini lah yang banyak memberi bekalan iman.




Petikan Novel Hatiku Milikmu
karya 
Ustazah Fatimah Syarha

No comments:

Post a Comment